Kylian Mbappe berkata, "sekarang bukan masanya untuk bercakap mengenai Real Madrid" selepas membantu Perancis menewaskan Andorra 4-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Stadium Nasional Andorra, awal pagi tadi.

Mbappe dikaitkan dengan gergasi LaLiga, Madrid -- berita mengenai perpindahannya ke Santiago Bernabeu kian memuncak selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengatakan dia sudah bersedia untuk memulakan satu "projek baru".

Bagaimanapun, Mbappe tidak berada dalam suasana terbaik untuk menjawab persoalan itu.

"Sekarang bukan masanya untuk bercakap mengenai Real Madrid," katanya selepas tamat perlawanan.

"Anda sentiasa bertanyakan soalan yang sama, namun ia bukan masanya."

Mbappe menjaringkan gol ketika membantu kemenangan penting Perancis awal pagi tadi dan jaringan itu merupakan yang ke-100 sepanjang kariernya.

Pemain berusia 20 tahun itu memecah kebuntuan pada minit ke-11 menerusi lambungan gemilang yang menewaskan Josep Gomes.

Sepanjang 180 penampilannya di peringkat senior, dia sudah menjaringkan 87 gol sepanjang dua musim mewakili Monaco dan PSG dalam Ligue 1.

Jaringannya di Andorra itu pula merupakan yang ke-13 di peringkat antarabangsa.