Kylian Mbappe cukup cergas untuk menyertai kesebelasan utama Paris Saint-Germain (PSG) menentang Galatasaray dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, namun Thomas Tuchel berasakan penyerang itu tidak dapat beraksi selama 90 minit.

Mbappe terlepas aksi pembukaan Kumpulan A -- pasukannya meraih kemenangan 3-0 ke atas Real Madrid bulan lalu -- gara-gara kecederaan paha.

Namun, dia dimasukkan dari bangku pemain simpanan dalam perlawanan liga menentang Bordeaux hujung minggu lalu.

Pemain kebangsaan Perancis itu, yang menjaringkan empat gol dalam Liga Juara-Juara musim lalu, bergandingan baik dengan Neymar sebelum bintang Brazil berkenaan menjaringkan gol yang memastikan kemenangan 1-0 PSG ke atas Bordeaux dalam Ligue 1.

Neymar tidak akan menyertai kunjungan ke Turki itu kerana masih digantung daripada perlawanan peringkat Eropah, namun kepulangan Mbappe akan memperkuatkan kembali jentera serangan PSG.

"Mbappe boleh memulakan perlawanan atau menamatkannya, namun dia tidak boleh beraksi selama 90 minit," kata Tuchel dalam sidang media.

"Kami mempunyai sasaran spesifik, benar tetapi saya tidak boleh memberitahu anda tentang mereka dalam sidang media, ia hanya antara kami.

"Sentiasa ada perkara untuk diusahakan, keperincian dalam setuhan terakhir, mencari ruang tetapi juga daripada aspek taktikal.

"Amat penting untuk dia mendapatkan kembali keyakinannya, dia mempunyai banyak peluang dalam perlawanan sebelum ini dan ia sesuatu yang baik.

"Saya tidak akan berhenti untuk mengerahnya dengan bantuan apabila anda bermain dengan keadaan minda terbaik," katanya.

Walaupun Mbappe akan kembali memperkuatkan pasukan itu, penjaring terbanyak PSG, Edinson Cavani, masih tidak dapat diturunkan dan Mauro Icardi pula hanya diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan menentang Bordeuax.

Kecergasan Eric Maxim Choupo-Moting juga masih menjadi tanda tanya.

Skuad kendalian Tuchel itu kebiasaannya menggunakan tiga pemain di jentera serangan, namun pengendali berbangsa Jerman itu berkemungkinan menukar pendekatannya dalam perlawanan di Istanbul awal pagi esok.

"Saya tidak dapat memberitahu anda menjelang perlawanan besar seperti ini, ia sentiasa menjadi cabaran buat kami untuk mencari penyelesaian.

"Kami dapat melakukannya ketika menentang Real, kita akan lihat nanti, mungkin kami akan beraksi dengan dua penyerang, mungkin juga tiga.

"Kami akan menentukannya malam ini atau pagi esok, kami akan membentangkan perancangan kami esok dalam pertemuan bersama pemain.

"Kami perlu menantikan kepulangan Choupo dan Mauro, dan melihat bagaimana situasi mereka berkembang," tambahnya.