PSG 4 CLUB BRUGGE 1

Kylian Mbappe berkata Paris Saint-Germain (PSG) memerlukan Lionel Messi ketika pemain Perancis itu mendedahkan mengapa dia melepaskan peluang untuk mencetak hatrik dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menerusi sepakan penalti dalam kemenangan 4-1 ke atas Club Brugge.


Mbappe menjaringkan dua gol pada tujuh minit pembukaan sebelum menyerahkan tendangan dari jarak 12 ela itu kepada Messi dalam persembahan menarik separuh masa pertama di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Walaupun berpeluang meledak hatrik, pemain berusia 22 tahun itu menolak untuk mengambil sepakan penalti dalam babak kedua apabila memberi laluan kepada Messi untuk menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan berkenaan.

Mbappe menjelaskan ia lebih penting buat Messi yang berdepan situasi terumbang-ambing dalam permulaan kariernya di Perancis dan kesempatan itu boleh membantunya membina prestasi dan tahap keyakinannya.

“Kami akan memerlukan Lionel Messi,” kata Mbappe selepas perlawanan.

"Dia kekal sebagai Lionel Messi. Kami akan memerlukannya pada musim ini dan saya pasti dia akan membantu kami apabila perlawanan penting tiba.

"Dia perlukan keyakinan untuk perlawanan ini. Ia bukan sahaja merupakan satu langkah yang baik buatnya untuk menamatkan perlawanan dengan dua gol, tetapi ia juga bagus buat kami demi masa depan."





Mbappe menegaskan dia lebih mementingkan nasib pasukannya berbanding matlamat individu sambil memuji rakan-rakannya atas peranan mereka dalam persembahan cemerlangnya musim ini.

Dia telah merekodkan 11 gol dan 12 bantuan jaringan dalam 22 penampilan setakat ini.

“Saya cuba membantu pasukan,” kata Mbappe kepada RMC Sport.

"Bukan matlamat saya untuk membuktikan siapa pemain handalan di sini. Saya cuba membantu pasukan dan rakan sepasukan saya menghulurkannya kembali kepada saya supaya saya juga dapat beraksi dengan baik."