Kylian Mbappe perlu berkelakuan lebih baik jika mahu disayangi segenap dunia, kata ketua jurulatih Metz, Frederic Antonetti.

Paris Saint-Germain (PSG) meneruskan rekod kemenangan 100 peratus dalam Ligue 1 musim ini sebaik Ashraf Hakimi -- yang turut menjaringkan gol pembukaan -- menemui sasaran dalam waktu kecederaan untuk memberikan kemenangan saat-saat akhir ke atas Metz awal pagi semalam.

Gol kemenangan Hakimi itu hadir berselang empat minit selepas kapten Metz, Dylan Bronn, dilayangkan kad kuning kedua kerana melengah-lengahkan permainan sebelum Antonetti turut dilayangkan kad merah kerana protesnya di tepi padang dan cuba menyerang pengadil.

Ketika PSG meraikan gol kemenangan Hakimi, penjaga gol Metz, Alexandre Oukidja, datang berdepan dengan pemain bimbingan Mauricio Pochettino itu dan kelihatan berang dengan cara keraian mereka.

Mbappe, yang hampir menewaskan Oukidja menerusi lambungannya selepas pemain Metz mengeluarkan bola kerana insiden kecederaan, kelihatan menjadi punca kemarahan penjaga gol itu dan ia berlarutan selepas wisel penamat dibunyikan.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan itu, Antonetti menyelar tindakan bintang PSG berkenaan, yang didakwanya sebagai menyakitkan hati selepas hanya beraksi buruk dalam perlawanan itu.

"Kylian Mbappe perlu berkelakuan lebih baik seandainya mahu disayangi.

"Saya menggemari pemain ini, dia pemain yang amat-amat kuat tetapi dia akan mendapat kebaikan jika lebih merendah diri.

"Dalam perlawanan ini, dia seperti tidak wujud. Itulah yang berlaku jika dia tidak dapat mencari ruang," katanya.