PSG 3 NIMES 0

Kylian Mbappe mungkin meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Nimes awal pagi tadi, namun Thomas Tuchel berasakan penggempur itu setidak-tidaknya mampu menyumbat gol dua kali ganda daripada jumlah itu.


Mbappe mencapai angka 51 gol dalam kancah Ligue 1 menerusi dua gol yang disumbangkannya dalam babak kedua di Parc des Princes tetapi ia jauh daripada prestasi terbaiknya bersama pemimpin liga itu.

Setelah satu jaringannya dibatalkan akibat ofsaid, satu lagi gol Mbappe dibatalkan kerana didapati mengasari Paul Bernardoni.

Mbappe menerima kad kuning atas tindakannya itu selain melepaskan dua peluang terhidang di depan gol dan ia seolah-olah mencerminkan perlawanan itu tidak memihaknya.

Bagaimanapun, dia menemui semula sentuhan berbisanya untuk memberi sumbangan bermakna kepada gergasi Perancis itu.

Pengurus PSG, Tuchel, gembira dengan penampilan pemain berusia 20 tahun itu tetapi berasakan dia sepatutnya boleh membawa pulang bola perlawanan itu.

"Ya (aksinya sangat bagus) tetapi hari ini dia sepatutnya menjaringkan empat atau lima gol," kata Tuchel kepada Canal Plus.

"Begitupun, dia adalah pemain fenomena, dia memiliki ciri-ciri yang luar biasa. Dia beraksi di samping sebuah pasukan yang ampuh, kami dapat mencipta banyak peluang.

"Terserah kepadanya, Edi (Edinson Cavani) mahupun Angel (Di Maria) untuk merebut peluang yang ada."

Mbappe, yang muncul pemain termuda untuk mencapai 50 gol dalam Ligue 1 dengan gol berganda itu, berikrar untuk terus mendorong dirinya mencapai lebih banyak kejayaan dalam kerjayanya.

"Saya bekerja keras setiap hari untuk mencuba dan membantu pasukan di tahap maksimum," katanya. "Saya juga cuba berseronok.

"Bola sepak masih seronok. Jaringan dan memecahkan rekod mencetuskan dorongan kepada saya. Saya sering mengandaikan bahawa suatu hari nanti, seseorang akan muncul dan beraksi lebih baik.

"Oleh itu, anda selalu perlu sentiasa cuba mengatasi kemampuan sendiri."

Meskipun PSG tidak berada di tahap terbaik, Tuchel gembira dengan mentaliti dan tekad pasukannya berikutan dua gol Mbappe itu hadir dalam tempoh 21 minit terakhir.

"Dalam babak pertama, Nimes cuba menutup ruang tetapi dalam babak kedua, kami beraksi dengan sangat baik dan berkualiti tinggi," tambahnya.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol kerana kami mempunyai peluang terbuka."