Ander Herrera menegaskan Kylian Mbappe dan Neymar 'sangat gembira' di Paris Saint-Germain (PSG) dan mengatakan gergasi Ligue 1 itu lebih cenderung membeli bintang daripada menjualnya.

Mbappe dan Neymar telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari PSG, dengan Real Madrid dan Barcelona masing-masing dilaporkan berminat dengan kedua-dua penyerang itu.

Tetapi Herrera mengatakan mereka kelihatan gembira bersama PSG, yang meraih gelaran ketiga Ligue 1 berturut-turut apabila saingan dihentikan ekoran wabak coronavirus.

Ditanya siapa yang lebih sukar PSG pertahankan jika mereka harus menjual salah satu bintang, pemain tengah itu mengatakan kepada AS: "Saya tidak tahu, kerana saya tidak tahu apa yang mereka peroleh atau pendapatan yang mereka hasilkan untuk kelab.

"Tetapi saya mengetahui bahawa kedua-duanya adalah kunci dalam projek pasukan dan saya melihat mereka sangat gembira bersama pasukan."PSG berjaya mendapatkan khidmat Neymar dengan rekod perpindahan yang bernilai EURO222 juta dari Barca pada tahun 2017, sementara Mbappe bergabung secara kekal dari Monaco pada tahun berikutnya dengan harga EURO135juta.

Herrera mengatakan PSG lebih cenderung untuk membeli pemain bertaraf bintang berbanding menjualnya.

"Anda harus mempertimbangkan aspek asas, dan saya telah membincangkannya dengan Mbappe, bahawa PSG tidak menjual bintangnya, sebaliknya, akan membeli lebih ramai lagi pemain," katanya.

"Pasukan mempunyai kekuatan ekonomi yang kukuh untuk terus menampung mereka berdua."