PERANCIS 4 ARGENTINA 3

Kylian Mbappe membayangi Lionel Messi ketika Perancis mencatat kemenangan 4-3 ke atas Argentina dalam pertembungan pusingan 16 untuk membuka saingan kalah mati Piala Dunia, sebentar tadi.


Bintang muda, Mbappe, berada dalam prestasi cemerlang dalam pertembungan dua gergasi itu di Kazan, dengan menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua bagi menamatkan kempen Argentina yang teruk di Russia.

Penyerang Paris Saint-Germain itu (PSG) memecut sejauh 70 ela yang mencetus kepada gol pembukaan selepas 13 minit, dengan Antoine Griezmann menyempurnakan dari tempat penalti selepas Mbappe dijatuhkan oleh Marcos Rojo.

Namun, Argentina menterbalikkan defisit untuk mendahului hasil rembatan jarak jauh yang menakjubkan daripada Angel Di Maria sebelum rehat, diikuti oleh usaha bernasib baik Gabriel Mercado pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, Benjamin Pavard mengimbangi usaha cemerlang Di Maria dengan gol penyamaan luar biasa pada minit ke-57 sebelum Mbappe menjadi tumpuan utama, dengan memastikan pasukan Didier Deschamps itu berada di peringkat suku akhir, di mana mereka akan berdepan sama ada Uruguay atau Portugal.

Messi -- yang akan menghadapi persoalan mengenai masa depannya di peringkat antarabangsa selepas kekalahan itu -- telah membuat bantuan kepada jaringan tandukan oleh Sergio Aguero tetapi ia tidak mencukupi bagi menyelamatkan Argentina, dengan finalis 2014 itu gagal dalam kejohanan edisi ini.

Perancis, yang membuat enam perubahan daripada pasukan yang seri 0-0 dengan Denmark minggu lalu, hampir mendahului selepas sembilan minit tetapi tendangan percuma dari jarak 25 meter daripada Griezmann sekadar menggegar palang gol Franco Armani.

Penyerang Atletico Madrid itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan walaupun sebahagian besarnya dibantu kelajuan Mbappe yang gemilang.

Selepas mengambil bola di dalam kawasan sendiri, dia memecut hanya untuk dijatuhkan Rojo di dalam kawasan penalti.

Griezmann tampil dengan tenang menyudahkannya dengan menghantar bola ke arah kanan Armani untuk gol kedua peribadi -- kedua-duanya penalti -- dalam Piala Dunia ini.

Argentina tidak banyak menawarkan sesuatu dalam ancaman serangan ketika babak pertama yang sengit tetapi menyamai kedudukan empat minit sebelum waktu rehat apabila Di Maria melepaskan rembatan jarak jauh dengan kaki kirinya untuk menewaskan Hugo Lloris.

Didorong oleh gol penyamaan berkenaan, pasukan Jorge Sampaoli itu memulakan tempoh kedua dengan lebih menyerlah dan diberi ganjaran dengan gol kedua tiga minit selepas permulaan.

Sepakan percuma Ever Banega ditanduk menuju ke arah Messi dan percubaan bintang Barcelona itu ke arah gawang terbias daripada kaki Mercado, yang seakan-akan mahu mengawalnya, dan melewati Lloris yang tidak berdaya untuk menghalang.

Bagaimanapun, pendahuluan mereka hanya bertahan sembilan minit apabila Perancis menyamakan kedudukan dengan gol berkualiti tinggi.

Hantaran lintang Lucas Hernandez dari kiri menemui rakan pertahanan, Pavard, yang melakukan penyudah menerusi teknik separuh voli dari luar kotak penalti yang melencong ke arah penjuru kanan Armani.

Mbappe sekali lagi meletakkan Perancis di depan pada minit ke-64 apabila mengambil bola tidak dikawal kemas di dalam kawasan penalti, menemui ruang terbuka dan melepaskan rembatan rendah menewaskan Armani yang lambat bertindak.

Jaringan kedua peribadinya -- hasil penyudah sentuhan pertama -- disusulinya empat minit kemudian, yang akhirnya memisahkan jurang kedua-dua pasukan.

Aguero memastikan penamat sengit dengan menanduk masuk pada minit ketiga masa tambahan, namun ia tidak mencukupi untuk mengelak Argentina -- dan Messi -- daripada tersingkir.