Kylian Mbappe menegaskan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius sambil berpendapat bahawa dia perlu membentuk gandingan mantap bersama Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele jika mahu membawakan kejayaan buat Perancis dalam Piala Dunia.

Pemain Paris Saint Germain (PSG) itu dilihat terpaksa meninggalkan kem latihan Selasa lalu selepas menerima kecederaan buku lali akibat terjahan daripada rakan sepasukan, Adil Rami.

Dia pantas memberikan kenyataan menerusi laman Twitter peribadi setelah wujud spekulasi bahawa Mbappe akan terlepas aksi pembukaan bertemu Australia bagi saingan Kumpulan C, Sabtu ini.

Ketika bertemu media semalam, pemain berusia 19 tahun itu memberikan jaminan bahawa dia berada dalam keadaan terbaik.

"Saya yakin 100 peratus dan akan meneruskannya," ujar Mbappe.

"Latihan bersama kelab atau pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang sama. Kami bermain sewaktu berlatih. Kadangkala, ia berada di luar kawalan tetapi tiada siapa yang mati!"

Mbappe turut bercakap mengenai gandingannya bersama Griezmann dan Dembele di barisan depan skuad Les Bleus dan yakin ia akan menjadi kombinasi mantap bagi penggempur muda itu.

"Kami bertiga sangat menghargai satu sama lain dan terdapat banyak pergerakan dan kepantasan.

"Kami harus meningkatkan cara kami bertahan. Untuk beraksi dalam kejohanan ini, kami tidak boleh beraksi hanya separuh kekuatan.

"Dalam masa sama, kami juga harus tampil berkesan di depan gawang lawan kerana peluang tidak mungkin hadir sebanyak 60 kali."