Bekas pengendali Perancis, Laurent Blanc, berkata Kylian Mbappe adalah satu fenomena yang bakal menggerunkan lawan mereka dalam separuh akhir, Belgium.

Mbappe merupakan salah seorang bintang kejohanan, antara pilihan untuk memenangi Bola Emas, selepas meledak dua gol ketika berdepan Argentina untuk mengumumkan namanya kepada dunia.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain termuda sejak Pele pada 1958 menjaringkan lebih daripada satu gol dalam satu perlawanan Piala Dunia.

Real Madrid menafikan laporan bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan Mbappe daripada Paris Saint-Germain (PSG), dengan menganggap dakwaan itu tidak benar tetapi penyerang itu bakal menjadi rebutan gergasi Eropah.

Menjelang aksi separuh akhir Perancis berdepan Belgium pada awal pagi Rabu ini, Blanc memilih Mbappe sebagai salah seorang pemain yang berpengaruh buat skuad kendalian Didier Deschamps itu.

"Pada pendapat saya, Mbappe telah mencipta peningkatan sejak 10 bulan lalu, jadi ia adalah satu fenomena!" kata Blanc. "Tetapi ia tidak bermakna dia akan membenarkan kami menang setiap perlawanan.

"Dia masih lagi muda tetapi menggerunkan lawan. Pasukan Perancis sangat bertuah kerana mereka memiliki aura itu.

"Belgium turut memiliki pemain yang unik seperti Eden Hazard.

"Perancis diketuai oleh dua pemain yang mempunyai potensi besar. Antoine Griezmann dan Paul Pogba mampu mencipta impak buat pasukan," katanya lagi.