Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mendedahkan kelab itu berminat untuk membawa dua bakat muda bola sepak, Kylian Mbappe dan Gianluigi Donnarumma, ke Santiago Bernabeu.

Pemain bintang sensasi AS Monaco, Mbappe, telah pun dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid selepas menghasilkan 26 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Perez -- yang dilaporkan sedang mengurus isu Cristiano Ronaldo susulan permasalahan cukai -- ditanya sama ada Madrid berminat dengan Mbappe.

"Zidane menyaksikan kelibat Mbappe pada usia 16 tahun. Dia amat mengagumi pemain itu," Perez memberitahu Onda Cero.

"Kami tidak boleh mendapatkan khidmatnya pada usia 16 tahun.

"Saya yakin dia akan menjadi antara pemain terbaik dunia.

"Sudah tentu kami mengikuti perkembangannya."

Seorang lagi pemain yang dikhabarkan berada dalam radar Real Madrid adalah penjaga gol AC Milan dan Itali, Donnarumma.

Pemain berusia 18 tahun itu menjadi sasaran setiap kelab gergasi di Eropah selepas dia mengumumkan tidak akan melanjutkan kontrak yang bakal berakhir musim depan di San Siro.

"Semua orang berkata dia akan menjadi penjaga gol yang hebat. Pengganti kepada Gianluigi Buffon," ujar Perez.

"Sudah tentu dia juga berada dalam senarai kami tetapi kami tidak akan mendedahkan apa tindakan kami."