Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, digantung tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah kerana menolak pemain Nimes, Teji Savanier, Sabtu lalu.

PSG memenangi perlawanan tersebut 4-2 tetapi ia dicemari layangan kad merah kepada Mbappe kerana tidak berpuas hati dengan beberapa kekasaran yang dilakukan lawan.

Keadaan tegang di antara Mbappe dan Savanier bermula sejak tamat separuh masa pertama sebelum mereka sekali lagi bertembung pada penghujung permainan.

Mbappe bertindak balas dengan menolak pemain Nimes itu, dengan kedua-dua pemain diarah keluar padang.

Penyerang muda itu bakal terlepas aksi Ligue 1 berdepan Saint-Etienne, Rennes dan Reims.

Savanier pula digantung lima perlawanan di atas kelakuannya.