Monaco berazam untuk menjauhi daripada mana-mana minat terhadap Kylian Mbappe selepas penyerang remaja itu memberi inspirasi kemenangan menakjubkan ke atas Manchester City dalam Liga Juara-juara Eropah, awal pagi tadi.

Pendahulu Ligue 1 yang dipimpin Leonardo Jardim itu membawa defisit 5-3 daripada perlawanan pertama di Stadium Etihad tetapi Mbappe meledak untuk jaringan pembukaan -- memecah kebuntuan pada minit kelapan dan membuat satu lagi percubaan yang dibatalkan kerana ofsaid.

Fabinho menggandakan kelebihan Monaco dan walaupun Leroy Sane membawa City ke depan secara agregat, tandukan Tiemoue Bakayoko pada minit ke-77 menjamin kejayaan tidak akan dilupakan Monaco menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Kemaraan Monaco ke suku akhir yang mendebarkan akan meningkatkan saham Mbappe sebagai salah seorang antara pemain muda menarik dalam dunia bola sepak.

Anthony Martial menjadi pemain remaja paling mahal dalam sejarah apabila berpindah dari Monaco ke Manchester United pada 2015 tetapi naib presiden kelab itu, Vadim Vasilyev, menegaskan kelab tiada keinginan untuk menjual pemain berusia 18 tahun, Mbappe, yang akan memecah rekod pemain muda termahal sekali lagi.

"Niat kami adalah untuk menjaga Kylian Mbappe," kata Vasilyev kepada RTL.

"Mbappe adalah produk akademi belia kami. Dia adalah DNA kami. Saya amat bangga.

"Kami memiliki skuad sebenar. Separuh pertama adalah sangat baik -- prestasi yang pasukan paling atas lakukan."

Gol Mbappe menentang City di Stadium Louis II adalah gol ke-11 dalam 11 penampilannya -- prestasi yang boleh menghadiahkannya panggilan pertama buat skuad kebangsaan apabila Didier Deschamps menyenaraikan pemain Perancis untuk menghadapi Luxembourg dan Sepanyol nanti.