BREST 2 PSG 4

Kylian Mbappe membuka akaun jaringannya bagi musim 2021-22 ketika Paris Saint-Germain (PSG), yang masih tidak menurunkan Neymar dan Lionel Messi, menewaskan Brest 4-2 di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Dengan Messi dan Neymar didapati masih belum bersedia diturunkan oleh Mauricio Pochettino, Mbappe menjaringkan gol pertamanya musim ini dengan jaringan tandukan keempatnya sepanjang beraksi dalam Ligue 1.

Mbappe menjaringkan gol kedua PSG, 13 minit selepas Ander Herrera membuka jaringan pada minit ke-23 tetapi kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Keylor Navas, membolehkan Brest merapatkan kedudukan menerusi sentuhan Frank Honorat menjelang waktu rehat.

Gol jarak jauh Idrissa Gueye seakan-akan memutlakkan kemenangan pasukan pelawat itu tetapi Angel Di Maria muncul penyumbang jaringan terakhir PSG selepas Steve Mounie sekali lagi merapatkan jurang buat Brest.

Selepas ini, PSG akan bertandang ke laman Reims sebelum waktu rehat antarabangsa dan ia bermakna, Messi berkemungkinan akan diturunkan perlawanan itu memandangkan Mauro Icardi berdepan kecederaan pada penghujung perlawanan awal pagi tadi.

Brest pula akan berdepan Strasbourg bagi perlawanan berikutnya.