Perancis bakal turun menentang Paraguay dalam perlawanan persahabatan tanpa kelibat bintang muda, Kylian Mbappe, selepas disahkan mengalami masalah kecederaan paha.

Pemain berusia 18 tahun itu melakukan penampilan pertama bersama skuad Les Bleus dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg, Mac lalu.

Dia turut beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol selepas melalui musim yang cemerlang bersama Monaco dalam saingan Ligue 1.

Mbappe dijangka beraksi menentang Paraguay, namun ketua jurulatih, Didier Deschamps, mengesahkan untuk tidak mengambil risiko menurunkan pemain muda itu.

“Mbappe mengalami sedikit masalah dengan paha pada Rabu,” kata Deschamps.

“Dia berasa tidak selesa di bahagian paha.

“Saya tidak akan mengambil risiko menurunkannya,” ujarnya.

Kecederaan itu menyebabkan Mbappe belum pasti dapat beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 9 Jun ini.