Kylian Mbappe akan menyertai Arsenal tetapi pemain muda sensasi Monaco itu tidak seharusnya dibandingkan dengan legenda The Gunners, Thierry Henry, kata Robert Pires.

Pemain penyerang berusia 18 tahun itu merupakan antara bakat muda paling hangat dibincangkan ketika ini apabila telah pun meledak 13 gol dalam saingan Ligue 1 dan tambahan lima gol dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Awal minggu ini, pengendali Arsenal, Arsene Wenger, mengakui mereka tidak memiliki kedudukan kewangan yang kukuh untuk mendapatkan tandantangan Mbappe andai pemain itu mahu berhijrah.

Bagaimanapun, Pires -- bekas pemain skuad 'The Invincibles' Arsenal pada tahun 2003-04 -- percaya Mbappe akan ke Stadium Emirates dan melihat Wenger sebagai calon terbaik bagi mengasah bakat pemain itu.

Bercakap kepada Bwin, dia berkata:"Saya berpendapat Arsenal akan mendapatkan khidmatnya.

"Masalah sekarang adalah menentukan berapakah nilainya. Mbappe berpotensi untuk beraksi bersama Arsenal dan Wenger adalah individu terbaik untuk membimbingnya.

"Monaco dan Arsenal memiliki corak permainan yang lebih kurang sama, jadi perubahan itu tidak akan memberi kesukaran kepadanya."

Persamaan di antara Mbappe dan Henry adalah sama, dengan kedua-duanya memulakan karier bersama Monaco di samping memiliki larian pantas dan ketajaman di hadapan gawang lawan.

Namun, Pires berpendapat tidak adil untuk meletakkan Mbappe dalam kelompok yang sama seperti penjaring terbanyak Arsenal itu.

"Mereka berdua tidak perlu dibandingkan. Mbappe masih belum bersedia untuk dibandingkan dengan Thierry. Mbappe memiliki kualiti lebih kurang sama, namun tidak adil untuk membandingkan mereka," tambahnya.

"Saya berharap Kylian akan mengikut jejak Thierry Henry, dia memiliki profil sama seperti Thierry -- kelajuan, kekuatan dan ketajaman tetapi dia masih muda."