Matyo sah ke KL City

Najmi Iman
April 16, 2024 10:09 MYT
Menerusi kemas kini terbaru laman sosial Kuala Lumpur City, persoalan hala tuju bekas penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha, akhirnya terjawab apabila kelab yang berpangkalan di ibu kota itu mengumumkannya sebagai penolong jurulatih skuad B-23.
Pemain yang mesra dengan panggilan Matyo itu kelihatan membuat keputusan untuk menggantung but dan menyertai barisan kejurulatihan KL City.
Sebagai rekod, Matyo telah menjadi watak penting ketika Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama pada tahun 2010.
Aksi pemain yang terkenal dengan gelecekannya itu sudah pasti akan dirindui berdasarkan pencapaian yang membanggakan termasuk memperoleh gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim 2010 hingga 2012.
#KL City #Norshahrul Idlan Talaha #Matyo