SELANGOR 1 JDT 3

Johor Darul Ta'zim (JDT) mencengkam persada Liga Super apabila mengetepikan cabaran Selangor 3-1 ketika bertandang ke Stadium MBPJ, sebentar tadi.


Jentera serangan Harimau Selatan tidak mensia-siakan tiga daripada lima peluang yang dimiliki untuk menghukum Gergasi Merah selepas memecah kebuntuan perlawanan dalam masa kecederaan separuh masa pertama.

Matthew Davies ternyata menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila menjadi arkitek kepada gol pertama yang terhasil daripada tandukan Bergson da Silva berkenaan sebelum kelebihan itu dipadamkan penyerang berbisa tuan rumah, Ifedayo Olusegun, sebaik sejam melewati permainan.




Namun, larian deras di sebelah kanan oleh Matthew memastikan JDT kembali di depan pada minit ke-79.

Ketika Selangor asyik mencari jaringan penyamaan, Mohamadou Sumareh memulakan serangan JDT dari kawasan tengah dengan bermain 1-2 bersama Bergson sebelum meluru sekali gus menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, buat kali ketiga untuk anak buah Karsten Neitzel itu menghuni tangga kelima.

Keputusan lain:

Liga Super
MELAKA UNITED 2 TERENGGANU 0
UiTM 0 PENANG 1

Liga Perdana
Perak II 0 Kelantan United 4