Bekas pemain kebangsaan, Matlan Marjan serta lima lagi pemain Sabah kini sudah boleh kembali menyertai sukan bola sepak di negara ini selepas mereka diberi pengampunan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengesahkan perkara itu dalam sesi bertemu peminat yang berlangsung di Kota Kinabalu, hari ini.

"Tadi kita sudah membangkitkan isu terbabit dalam Mesyuarat EXCO FAM untuk melepaskan mereka dan itu status semasa mereka buat masa ini.

"Jadi ya, mereka boleh terbabit (kembali dalam bola sepak), “ katanya.

Penyerang yang pernah meledak dua gol ketika aksi persahabatan di antara Malaysia dan England pada 1991 itu digantung seumur hidup oleh FAM kerana terbabit dalam skandal rasuah yang menggegarkan kancah bola sepak negara pada pertengahan 90-an.

Lima lagi pemain Sabah yang turut menerima nasib seperti Matlan ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G. Raveychandran dan Charles Tindi.

Pada 9 Mei tahun lalu, FAM memberi pengampunan kepada 78 bekas pemain yang terlibat dalam skandal itu, namun mereka berenam terkecuali daripada pengampunan terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail berkata FAM juga bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat semua individu yang terbabit dengan aktiviti rasuah dalam sukan bola sepak di negara ini.

"Tiada tempat untuk rasuah dalam bola sepak kita, FAM akan bekerjasama dengan SPRM untuk menyiasat aktiviti rasuah, bukan saja dalam perlawanan bola sepak tetapi juga dalam pengurusan persatuan ini," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat EXCO FAM kali pertama bagi penggal 2017-2021, di Kota Kinabalu, hari ini.