Pemain Serbia, Nemanja Matic, mahu menyamai pencapaian hebat yang dilakukan oleh legenda Manchester United dan juga rakan senegaranya, Nemanja Vidic, selepas menyelesaikan perpindahannya ke Old Trafford dari Chelsea.

Matic menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama United setelah Chelsea bersetuju dengan yuran perpindahan yang dianggarkan bernilai GBP40 juta (RM226 juta).

Pemain berusia 28 tahun itu tanpa berselindung menamakan Vidic, yang pernah memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta satu Liga Juara-Juara Eropah, sebagai inspirasinya.

“Vidic adalah pemain hebat, seorang pemain yang saya jadikan inspirasi di sini kerana memiliki karier yang gemilang di Old Trafford,” kata Matic.

“Dia pernah mengetuai skuad kebangsaan dan satu penghargaan apabila dapat mewakili kelab sama sepertinya. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Vidic di sini.

“Walaupun sedar segalanya tidak mudah di sini, saya tidak mahu Vidic bertanya apa yang saya lakukan di sini satu hari nanti,” tambahnya.

Matic mengakui dia berbangga apabila menandatangani untuk pasukan yang dikendalikan oleh Jose Mourinho buat kali kedua dan mahu fokus menjelang aksi Piala Super UEFA menentang Real Madrid pada 8 Ogos.

“Ia keputusan mudah. Mourinho adalah jurulatih yang hebat dan sewaktu saya bekerja bersamanya di Chelsea, dia sentiasa membawakan sesuatu yang terbaik daripada saya.

“Apabila dia mahukan saya menyertainya di sini, ia memberikan satu motivasi dan kebarangkalian yang lebih tinggi, jadi saya tidak perlu berfikir panjang,” tambahnya.