SERBIA 1 GEORGIA 0

Nemanja Matic dan penjaring tunggal perlawanan, Aleksandar Prijovic, gembira dengan kejayaan Serbia menempah tiket ke Piala Dunia Russia 2018 selepas negara Balkan itu menewaskan Georgia 1-0, awal pagi tadi.


Belgrade berpesta sebaik jaringan pemain gantian, Prijovic, pada minit ke-74 menjamin kemenangan buat tuan rumah untuk memastikan mereka bangkit di pentas antarabangsa setelah terlepas edisi 2010.

Cubaan awal pemain tengah Manchester United, Matic, dinafikan di atas garisan gol sebelum Prijovic dengan tenang menolak masuk bola tatkala kemenangan Republik Ireland ke atas Wales telah membantu mempengaruhi kemaraan anak buah Slavoljub Muslin itu.

"Kami berdepan tekanan hebat sebelum sepak mula," kata Matic. "Kami mahu bermain dengan sabar, kami sedar kami berpeluang.

"Saya sangat gembira, terima kasih kepada penyokong yang berada di belakang kami.

"Kami menonjolkan semangat juang dalam jersi Serbia, bukannya untuk bermain bola sepak tercantik kerana kami gagal menampilkannya dalam kempen kelayakan ini. Namun, kami berjuang dan itulah sebabnya kami akan ke Russia."

Prijovic, yang beraksi untuk kelab Greece, PAOK, berkata: "Boleh dikatakan ia gol paling penting dalam karier saya. Saya sering mengimpikan gol penting untuk negara. Kami sememangnya berhak.

"Sebaik saya menyumbat gol, saya berterima kasih kepada tuhan kerana begitu mendambakan saat ini dalam hidup saya," katanya.

Jurulatih, Muslin, yang mengambil alih tugas itu sejak Mei tahun lalu, gembira usaha keras mereka membuahkan hasil.

"Dalam tempoh satu setengah tahun kami bekerjasama, kami sentiasa gigih dan saya fikir kami memang layak," katanya.

"Kami berjaya, saya bangga dengan mereka kerana ini adalah kejayaan mereka, mereka telah melakar sejarah.

"Ia keputusan bersejarah. Saya tidak akan mengambil alih pasukan ini jika saya tidak percaya kami mampu mencapai keputusan ini. Saya mempercayai setiap orang sejak awal lagi," tambahnya.