"Sudah rezeki kami begitu," kata jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mengenai keputusan seri 1-1 pasukannya dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Dalam perlawanan Liga Super itu, empat percubaan JDT singgah di palang manakala juara bertahan itu turut gagal memanfaatkan satu sepakan penalti.

"Syukur Alhamdulillah. Semua itu adalah petanda rezeki berpihak kepada kami malam tadi," katanya.

Jurulatih itu juga memuji anak buahnya yang menyahut cabaran Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, untuk mengekalkan pasukan dalam liga elit itu tahun depan dengan mempamerkan semangat juang kental.

"Mereka bermain bermati-matian dan tidak menyerah kalah serta menunjukkan perwatakan mantap.

"Satu mata ini cukup berharga, tambahan pula dicuri daripada lawan handal seperti JDT.

"Tiada siapapun yang menganggap kami berpeluang dalam perlawanan ini kerana menjangkakan kami menjadi mangsa belasahan, "katanya.

Lebih melegakan Abu Bakar ialah keberkesanan gandingan Yashir Pinto, Giancarlo Lopes Rodriguez dam Ramon Costa Da Silva yang menjadi ancaman kepada benteng pelawat.

Malah, trio itu bergandingan baik untuk membantu Ramon memadamkan kelebihan JDT pada minit ke-14.

Abu Bakar yakin kejayaan seri dengan JDT itu mencetuskan motivasi besar kepada anak buahnya dalam misi meneruskan baki enam perlawanan.