Pemain pilihan utama, Daniil Medvedev, di landasan tepat untuk memenangi gelaran ATP 1000 keduanya dalam tempoh seminggu selepas layak ke separuh akhir Kejohanan Tenis Masters Cincinnati hari ini.

Medvedev -- yang memenangi kejuaraan Terbuka Totonto minggu lalu -- membenam pemain pilihan keenam, Pablo Carreno Busta, di peringkat suku akhir dan akan mencongak perhitungan dengan Andre Rublev bagi penentuan ke final.

Pemain nombor dua dunia itu tewas kepada Carreno Busta dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi melunaskan dendam itu dengan kemenangan selesa 6-1, 6-1 dalam tempoh 54 minit.

Dengan hanya melepaskan 12 game sepanjang minggu ini, Medvedev kini telah merekodkan 40 kemenangan sepanjang tahun ini.

Dua bintang lain, Stefanos Tsitsipas dan Alexander Zverev, turut melepasi halangan masing-masing untuk bertemu sesama sendiri dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Ini merupakan kali pertama sejak 2009 keempat-empat pemain pilihan utama layak ke separuh akhir di Cincinnati.