Ash Barty mara ke separuh akhir keenamnya tahun ini selepas menewaskan seorang lagi juara grand slam, Barbora Krejcikova, dalam Masters Cincinnati hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu -- yang merupakan juara bertahan Kejohanan Wimbledon -- tidak berdepan masalah untuk menewaskan juara Terbuka Perancis, Krejcikova, dengan keputusan 'straight-set' untuk mencongak perhitungan dengan seorang lagi juara grand slam, Angelique Kerber, dalam perlawanan berikutnya.

Bintang Australia itu jelas tidak dapat ditandingi Krejcikova sebelum merekodkan kemenangan 6-2, 6-4 dalam kejohanan bertaraf WTA 1000 itu.

Kemenangan itu turut menyaksikan Barty melebarkan rekodnya kepada 38-7 bagi saingan musim ini.