Pemangku jurulatih Tottenham, Ryan Mason, tidak dapat memberi jaminan bahawa Gareth Bale akan kekal di kelab yang berpangkalan di London utara itu musim depan.

Selepas kehilangan tempat di Real Madrid, pemain sayap Wales itu kembali ke Spurs September lalu dengan status pinjaman sepanjang musim, namun dia perlu kembali ke ibu kota Sepanyol berkenaan sebaik kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir.

Ditanya sama ada Bale mungkin kekal bersama Spurs bagi edisi 2021-22, Mason berkata: "Saya tidak pasti, saya tidak pernah berbincang mengenai hal tersebut.

"Kelab akan mengadakan perbincangan pada akhir musim ini. Selepas perlawanan hujung minggu ini, dia akan kembali ke kelab induknya. Dia merupakan pemain Real Madrid.

"Mengenai perbincangan dan situasi ini, saya tidak pasti. Mudah-mudahan dia akan membantu kami pada hujung minggu."

Sebuah laporan di akhbar Sepanyol AS semalam mendedahkan Bale akan memberi fokus untuk mengharungi musim depan bersama Madrid sebelum bersara sebaik kontrak lumayannya itu berakhir.


A post shared by Gareth Bale (@garethbale11)




Mason tidak ragu-ragu mengenai komitmen pemain berusia 31 tahun itu baru-baru ini.

Justeru dia menyanggah bahawa pemain antarabangsa Wales itu mengambil pendekatan berhati-hati demi Kejohanan Euro 2020.

"Secara peribadi saya tidak setuju dengan tanggapan itu. Saya hanya dapat menceritakan pengalaman saya bekerjasama dengan Gareth selama lima minggu terakhir ini. Kebelakangan ini dia menyumbangkan empat gol. Dia sangat bagus," kata Mason ketika berbicara menjelang perlawanan terakhir di Leicester City, malam esok.

Bale belum melengkapkan permainan 90 minit penuh EPL sejak kembali dipinjamkan tetapi dalam 19 penampilan -- dengan 10 kesempatan di kesebelasan utama -- dia telah meledak sembilan gol.

Berdasarkan prestasinya dalam kemenangan 2-0 ketika bertemu Wolves, Mason berkata: "Hujung minggu lalu saya rasa ia perlawanan EPL yang paling lama dia terlibat sepanjang musim ini, hampir 90 minit.

"Pada ketika itu dia kelihatan cergas, kuat, berani, menawarkan dimensi yang berbeza untuk kami dan dia juga tidak terlepas mempamerkan kualiti yang buruk."