Di sebalik beberapa perubahan drastik yang dilakukan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), ketua jurulatihnya, Jelius Ating, berharap penyokong pasukan itu akan terus bersatu untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan mereka.

Bagi Jelius, maskot Tambadau atau badak bukanlah perkara utama kerana ia tetap pasukan yang menggunakan logo Sabah.

"Tidak perlulah kita melihat kepada maskot kerana ia boleh berubah tetapi logo pasukan Sabah itu tetap tidak akan berubah.

"Apa yang penting, kita perlu bersatu menyokong pasukan Sabah sehingga mencapai kejayaan.

"Kejayaan pasukan adalah kejayaan kita bersama dan kekalahan juga adalah kekalahan kita bersama," katanya ketika ditemui selepas sesi bertemu peminat pasukan Sabah di kompleks beli-belah Suria, Kota Kinabalu, hari ini.

Baru-baru ini, SAFA menukar maskot badak kepada Tambadau sehingga mendapat perhatian daripada penyokong pasukan itu.

Ada dalam kalangan penyokong yang bersetuju dengan pembaharuan dilakukan SAFA itu, namun ramai juga yang berpendapat maskot badak yang selama ini digunakan tidak perlu diubah kerana ia sudah sebati dengan pasukan Sabah.

Sementara itu, ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil, bertekad untuk membantu pasukannya mencapai kejayaan lebih besar selepas mereka berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, musim lalu.

"Keadaan pasukan ketika ini sangat baik dan bersemangat untuk menghadapi saingan Liga Perdana yang akan bermula Sabtu ini.

"Kami berharap untuk dapat membantu pasukan ini mencapai sasaran yang diinginkan, iaitu merebut salah satu slot ke Liga Super musim depan.

"Mudah-mudahan, jika ada rezeki, kami mampu melakukannya," katanya.


*Kredit imej - Media Team SAFA