Pemain Borussia Dortmund, Mario Gotze, seharusnya menarik nafas lega apabila dilaporkan masih berada dalam perancangan skuad Jerman bagi menghadapi Piala Dunia 2018 selepas disahkan oleh pengendali, Joachim Low.

Gotze menjaringkan gol kemenangan Jerman dalam final edisi 2014, namun sejak itu dia mengalami masalah kecederaan dan dijangkiti penyakit hingga merencatkan perjalanan kariernya.

Pemain berusia 25 tahun itu kembali beraksi dalam Bundesliga bersama Dortmund dan Low yang sentiasa memantau perkembangannya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh bekas pemain Bayern Munich itu.

“Saya amat berpuas hati dengan perkembangannya. Kami ada berhubung dan dia berasa sangat bagus dan menjadi semakin baik.

“Gotze sentiasa menjadi pemain yang bernilai buat kami. Saya akan gembira jika dia dapat kembali ke prestasi asal dan mengekalkannya. Dia adalah seorang pemain yang terkecuali disebabkan kualiti istimewa yang dimilikinya,” kata Low.

Jerman masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 zon Eropah, namun perlu menewaskan Ireland Utara pada 6 Oktober untuk mengesahkan tiket automatik ke Russia.