Mascherano umum bersara

Shaiful Shamsudin
November 16, 2020 02:49 MYT
Bekas bintang Barcelona, ​​Liverpool dan Argentina, Javier Mascherano, mengumumkan persaraannya.
Pemain tengah berusia 36 tahun itu mendedahkan keputusan itu hari ini selepas 17 tahun bergelar pemain profesional.
Pemain antarabangsa Argentina sebanyak 147 kali itu -- rekod kemunculan terbanyak dalam sejarah negaranya -- kembali ke tanah airnya dengan menandatangani kontrak bersama Estudiantes de La Plata, Januari lalu.
Selepas 11 penampilan termasuk kekalahan 0-1 kepada Argentinos Juniors, semalam, Mascherano berkata sudah tiba waktunya untuk menggantung butnya.
"Saya ingin mengumumkan bahawa hari ini saya akan bersara daripada bola sepak profesional," katanya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab ini yang memberi saya peluang untuk menamatkan karier saya di Argentina."
Mascherano menambah: "Saya telah memberi komitmen 100 peratus, saya memberikan semaksimum yang mampu.
"Hari ini, saya menempuhi beberapa kesukaran jadi saya mahu menghormati Estudiantes yang memberi kepercayaan kepada saya untuk kembali ke Argentina, rakan-rakan mahupun bidang ini."

? Javier @Mascherano "Quiero anunciar que hoy me retiro del fútbol profesionalmente, quiero agradecer a este club que me dio la oportunidad que de terminar mi carrera en Argentina" pic.twitter.com/UDU3WHwRb4

— Estudiantes de La Plata (@EdelpOficial) November 15, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selepas memulakan kariernya dengan River Plate, Mascherano sempat beraksi untuk Corinthians dan West Ham sebelum bergabung dengan Liverpool pada 2007.
Dia tidak pernah rasa gentar untuk mengemudi bahagian tengah apabila menikmati sebahagian besar kejayaannya di Camp Nou dengan memenangi lima gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak dua kali selepas berkelana ke LaLiga pada 2010.
Dia membantu Argentina mara ke final Piala Dunia 2014 tetapi dikecewakan Jerman pada masa tambahan selain memiliki empat pingat selaku naib juara Copa America dan dua pingat emas Sukan Olimpik.
Selepas dua tahun bersama Hebei China Fortune, Mascherano kembali ke Argentina dengan menyertai Estudiantes di mana dia menamatkan kerjayanya.