Tanpa sebarang alasan munasabah, skuad Piala Presiden dan Belia Selangor berdepan masalah apabila mereka tidak lagi dibenarkan menggunakan Padang B di bawah penyeliaan Kelab Sukan SUK di Shah Alam bermula 1 Jun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh pengurus pasukan Piala Presiden Selangor, Datuk Ariffin Abdul Hamid, yang terkejut apabila mendapat surat arahan untuk tidak lagi menggunakan Padang B.

Situasi itu membuatkan mereka kini terpaksa berkongsi satu-satunya padang yang tinggal, iaitu Padang A, bersama skuad Liga Super Selangor serta Piala Presiden buat masa ini.

Tambah menyulitkan, pemainnya sekarang terpaksa berlatih pada jam 5.30 petang sepanjang bulan puasa ini memandangkan skuad Liga Super menggunakannya sepanjang waktu malam.

"Terdapat sedikit kekangan yang dihadapi oleh pasukan Selangor, kami terpaksa berkongsi satu padang buat ketiga-tiga pasukan dan kami masih dalam usaha mendapatkan jalan penyelesaian terhadap perkara ini," kata Ariffin.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedia membuat rayuan kepada kerajaan negeri mengenai status sebenar penggunaan Padang B.

Jika gagal, mereka juga dalam pertimbangan menggunakan Stadium Mini Shah Alam sebagai lokasi alternatif padang latihan selepas Julai nanti.

"Saya melihat Stadium Mini Shah Alam sebagai salah satu venue yang bakal kami gunakan bagi meneruskan sesi latihan."