Ketika peminat-peminat Chelsea mula mengukir senyuman setelah Recce James berjaya melakukan jaringan kedua Chelsea untuk meneruskan tradisi kemenangan The Blues ke atas Tottenham Hotspur semenjak beberapa musim lalu, namun itu tidak menjadi kenyataan apabila The Lillywhites berjaya menyamakan kedudukkan pada minit-minit akhir masa tambahan dan ia telah merentap seluruh emosi penyokong-penyokong The Blues begitu juga dengan Thomas Tuchel.

Pertelagahan di antara kedua-dua pengurus pasukan itu amat mendukacitakan, namun itu sebahagian daripada drama bola sepak Inggeris.

Tetapi apa yang menarik daripada perlawanan itu sebenarnya di mana kedua-dua pasukan telah menunjukkan satu semangat juang dan berpasukan yang tinggi.

Ia dibuktikan dengan jaringan-jaringan yang dijelmakan, lihat sahaja bagaimana The Blues bangkit untuk mencari gol pendahuluan buat kali kedua setelah Spurs berjaya menyamakan kedudukkan dan sementara itu bagi pemain Spurs pula, mereka akan berjuang selagi wisel penamat tidak dibunyikan dan selagi itulah mereka akan mengerah kudrat mereka untuk mencari jaringan penyamaan.

Itulah sikap positif yang selalu dipamerkan atlet bola sepak profesional bertaraf dunia, di mana mereka tidak mudah putus asa sebaliknya akan terus bekerja sehingga keringkat terakhir.

Walaupun secara praktikalnya The Blues menguasai 64% permainan tetapi anak didik Antonio Conte tidak sedikit pun tertekan sebaliknya mereka yang banyak melakukan percubaan tepat. Semangat berpasukan beginilah yang akan membentuk kekuatan terutama dari segi kekuatan mental mereka.

Sikap beginilah yang perlu kita teladani kerana ia akan membawa kejayaan kepada sesebuah pasukan. Disiplin yang tinggi di atas padang serta mengikut setiap arahan yang diberikan akan memberikan kelebihan kepada sesebuah pasukan. Ini berlaku kepada pasukan Spurs yang mana pemain-pemainnya sentiasa mengikut arahan yang diberikan Conte seperti tidak terburu-buru untuk melakukan serangan sebaliknya menggunakan kekuatan pasukan mereka melalui serangan balas.

Senjata inilah yang membuatkan Chelsea berputih mata setelah The Lillywhites berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan.