Claudio Marchisio menamatkan spekulasi yang menyatakan dia bakal meninggalkan Juventus sebelum tamat jendela perpindahan, hujung bulan ini.

Seteru Juve, AC Milan, telah dikaitkan bakal mendapatkan khidmat pemain tengah berpengalaman itu serta bekas pengendali The Old Lady, Antonio Conte, dilaporkan mahu membawa Marchisio ke Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk beraksi bersama Chelsea.

Walaupun kecederaan menyekat pemain berusia 31 tahun itu untuk sekadar membuat 18 penampilan dalam Serie A musim lalu, Marchisio menegaskan dia mahu kekal bersama juara Itali itu.

"Kadang-kadang, tiada kata yang diperlukan," kata Marchisio menerusi laman Twitter untuk menjawab spekulasi mengenai masa depannya.

Pengurus besar Juve, Giuseppe Marotta, turut menolak laporan mengenai Marchisio yang semakin hampir menuju jalan keluar daripada kelab itu setibanya Blaise Matuidi daripada Paris Saint-Germain (PSG).

"Marchisio masih lagi sebahagian daripada pasukan yang meningkat pada setiap musim. Jentera tengah kami juga berkembang untuk menjadi lebih baik kerana terdapat banyak kejohanan yang telah disertai oleh pasukan.

"Ia terpulang kepada pengendali untuk membuat keputusan pemain mana yang bakal diturunkan."