Ernesto Valverde meredakan spekulasi masa depannya bersama Barcelona apabila berkata perbincangan mengenai lanjutan kontrak boleh dilakukan di penghujung musim.

Pengurus berusia 54 tahun itu dilaporkan bakal meninggalkan Camp Nou apabila memberitahu saluran televisyen kelab bahawa dia tidak tahu apa yang akan dilakukan pada musim depan.

Kontrak terkini Valverde hanya akan tamat pada 2020 tetapi dia dan Barca mempunyai pilihan untuk menamatkannya setahun lebih awal.

"Benar, kontrak itu memiliki pilihan tahunan dan kami akan menentukannya akhir musim nanti," kata Valverde.

"Kami akan membincangkannya kemudian. Kami belum sampai ke pertengahan musim.

"Pihak kelab dan saya sentiasa berhubung. Selaku pengendali, apabila anda tidak menang, mereka memberikan tekanan kepada anda tetapi saya mempunyai kontrak."

Barca kini memiliki kelebihan tiga mata mendahului carta LaLiga selepas 17 perlawanan dan Valverde berada di landasan terbaik untuk mengetuai pasukannya meraih kejuaraan liga buat kali kedua berturut-turut.

Dia menegaskan hubungannya dengan pengarah kelab sangat kukuh dan keputusan mengenai masa depannya bukan bergantung kepada dirinya semata-mata.

"Saya tidak katakan bahawa saya perlu membuat keputusan," tambah Valverde.

"Ia satu persoalan, saya menandatangani kontrak dan kedua-dua pihak dihormati. Kami akan kembali berbincang untuk melihat perkembangan perkara itu."

Menjelang pertemuan dengan pasukan di tangga ketujuh, Getafe, di Coliseum Alfonso Perez, dia menambah: "Getafe adalah lawan sukar yang memberikan tekanan.

"Mereka berjuang untuk slot ke saingan Eropah dan pasti menjadi lawan yang sukar."