Ole Gunnar Solskjaer berasakan peluangnya untuk mendapatkan jawatan sebagai pengurus tetap Manchester United bergantung kepada pemain-pemain.

Solskjaer, yang diumumkan sebagai pengurus sementara selepas Jose Mourinho dipecat Disember lalu, telah memberikan impak yang benar-benar berkesan.

Bukan hanya kini telah meraih lapan kemenangan dalam sembilan perlawanan, malah permainan yang diketengahkan United jauh sekali berbeza dengan Mourinho.

Marcus Rashford, Anthony Martial dan Paul Pogba menyerlah dan menjadi jentera serangan utama Solskjaer dalam melakar kemenangan.

Permulaan cemerlang pengendali kelahiran Norway itu telah menghidupkan peluang untuknya kekal sebagai pengendali tetap, namun menegaskan kecemerlangan pemain-pemain akan menentukan nasibnya.

"Tugas ini seperti roda yang berpusing," kata Solskjaer. "Saya perlu memastikan pemain beraksi dengan cemerlang.

"Jika saya dapat memastikan mereka bermain dengan kualiti, ia adalah bukti perancangan saya berhasil.

"Tetapi ini bukan mengenai saya. Saya di sini tidak mahu bercakap mengenai diri saya atau mana-mana pengurus lain.

"Segalanya mengenai kerjasama pengurus dan pemain-pemain.

"Saya menyedari jika mereka dapat beraksi dengan gaya permainan yang diingini, kami mampu meraih mata yang cukup untuk mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik musim ini," katanya lagi.

Solskjaer menerytai United dari Molde dengan syarat akan kembali ke kelab Norway itu pada penghujung musim nanti.

Bagaimanapun, pemilik Molde, Kjell Inge Rokke, mahu beliau mendapatkan tugas tetap bersama United.

"Apabila saya menghubungi pemilik Molde dan memberitahu bahawa United mahu mendapatkan khidmat saya, beliau sentiasa mengetahui ia adalah impian saya.

"Beliau memberitahu, 'Pergilah, nikmatilah tugas di United dan jangan kembali ke sini.'

"Mereka mengucapkan semoga berjaya kepada saya dan sokongan ini adalah sesuatu yang positif untuk saya.

"Jika saya kembali ke Molde, saya akan melakukan yang terbaik untuk mereka -- tetapi segalanya kini bergantung kepada bila saya akan kembali."