Pep Guardiola menafikan dia berperasaan aneh untuk mengendalikan Leroy Sane selepas pemain itu meluahkan keinginannya untuk meninggalkan Manchester City.

Sane dilihat akan menyertai Bayern Munich dalam jendela perpindahan lalu tetapi penyerang kebangsaan Jerman itu mengalami kecederaan anterior cruciate ligamen (ACL) dalam perebutan Perisai Komuniti dengan Liverpool, Ogos lalu.

Dia masih belum menandatangani kontrak baru dengan City dan kontraknya ketika ini akan tamat pada penghujung musim depan.

Bayern tidak akan berusaha untuk membawa Sane ke Arena Allianz dalam jendela perpindahan bulan ini dan Guardiola bertegas bahawa ura-ura perpindahan pemain berusia 23 tahun itu tidak menjejaskan hubungan mereka.

Ditanya sama ada dia ada berperasaan aneh selepas kecederaan yang dialami Sane menamatkan impian pemain itu untuk menyertai Bayern pada awal musim ini, Guardiola berkata: "Tidak langsung, ia agak janggal kerana saya tidak dapat melihatnya di atas lapangan.

"Dia berada di gimnasium dan melakukan pemulihan, ia amat janggal untuk kami semua.

"Dia seorang yang baik, saya agak mengenalinya.

"Sayalah yang mendesak kelab ini dan meyakinkannya untuk datang ke sini ketika dia amat jarang dapat beraksi di Schalke.

"Tiada keraguan mengenainya dan kualitinya.

"Setiap orang memiliki keluarga, keinginan dan impian yang tersendiri.

"Saya tidak dapat melakukan apa-apa mengenai itu," katanya.

Ditekan dengan soalan sama ada dia secara perbadi berasa kecewa dengan situasi itu, Guardiola menambah: "Sudah pasti tidak, di mana anda berada sekarang tidak sama seperti tiga tahun lalu.

"Saya bukanlah orang yang sama seperti kali pertama saya tiba di sini.

"Pemain juga begitu, mereka mempunyai impian dan apabila impian itu tercapai, mereka memerlukan perkara baru, jadi saya tidak tahu.

"Saya hanya mahukan dia kembali.

"Saya katakan kepadanya minggu lalu bahawa lututnya kelihatan baik.

"Selepas itu, ia bukan urusan saya.

"Ia bergantung kepada keinginan kelab, pemain dan ejennya untuk menentukan masa depannya sendiri. Ia bukan di tangan saya," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa