Pengarah Kesukanan Borussia Dortmund, Michael Zorc, mendedahkan bahawa masih belum ada sebarang keputusan mengenai masa depan Mario Gotze bersama pasukan Bundesliga itu.

Kontrak Gotze, 27, akan tamat pada penghujung musim ini dan dia dilaporkan akan meninggalkan pasukan itu selepas hanya memulakan lima perlawanan Bundesliga musim ini.

Pemain itu, yang merekodkan 63 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman, sedang berada dalam kontrak keduanya bersama Dortmund tetapi Zorc berkata pihaknya perlu menunggu sebelum menentukan masa depan penyerang itu.

"Ia masih belum ditentukan," katanya kepada Ruhr Nachrichten.

"Sudah pasti kes ini turut melibatkannya memandangkan dia mahukan lebih minit permainan.

"Kami sedang berbincang dengan Mario.

"Saya sudah berbincang dengan bapanya sebelum Krismas lalu, Saya bercakap dengannya sekali lagi sewaktu di Marbella.

"Kami pasti akan mengadakan perbincangan pada musim bunga ini dan membuat keputusan akhir," katanya.

Seorang lagi pemain yang dikatakan akan meninggalkan Dortmund ialah Achraf Hakimi, yang mencuri tumpuan sepanjang tempoh pinjamannya daripada Real Madrid.

Zorc berkata dia mahu mengekalkan pemain kebangsaan Maghribi itu selepas Hakimi menyertai pasukannya secara pinjaman pada 2018.

"Saya sentiasa berpegang kepada fakta.

"Berdasarkan kontrak, dia akan kembali ke Real Madrid dalam musim panas ini kerana kontraknya akan berkuatkuasa 1 Julai depan.

"Kami perlu berbincang dengannya dan Real.

"Sudah pasti kami mahu mengekalkannya, ia amat jelas.

"Tetapi kami tidak dapat mempengaruhinya.

"Saya fikir Achraf sedar dengan perkembangannya sepanjang bersama kami.

"Dia dapat melakukannya di sini dan bukannya di tempat lain.

"Berdasarkan kenyataannya sendiri, dia juga amat selesa di sini.

"Perkara lain akan lebih jelas dalam musim bunga ini," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa