Ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh, masih belum pasti tentang hala tujunya musim depan sama ada kekal dengan skuad Tok Gajah atau sebaliknya.

Ini susulan Sri Pahang tewas 1-0 kepada Kuala Lumpur City yang menyaksikan pasukan warga kota itu muncul juara Kumpulan A Piala Malaysia.

Dollah mengakui bergelut untuk menggarap barisan muda Sri Pahang selepas Tok Gajah kehilangan beberapa bintang utama yang berhijrah di awal musim.

Namun kepercayaan diberikan sudah menampakkan beberapa pemain sudah mula menyinar, seperti Baqiuddin Shamsuddin, Zuhair Aizat serta Abdul Malik Mat Ariff.

Justeru Dollah menjelaskan mahu mengeekalkan asas yang dia telah bina, termasuk pemain import, Manuel Hidalgo yang dirasakan aset Sri Pahang untuk mengharungi musim depan.

"Saya berasakan kali ini berikan kepercayaan penuh kepada saya bagi memastikan jurulatih dapat menentukan pemain yang bakal diturunkan. Kerana jurulatih lebih berpengalaman dalam bola sepak dan jika masih lagi mengharapkan pihak pengurusan, mungkin pemain yang dibawa masuk tidak bersesuaian dengan pendekatan yang telah ditetapkan jurulatih," kata Dollah.

Mengulas mengenai perjalanan mereka tersingkir di peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini, Dollah mengakui barisan pemainnya 'lambat panas' meskipun berhasil mencipta kejutan di pertengahan saingan.

"Seharusnya kami dapat beraksi dengan lebih baik dan menjadi bagaimanapun ia tidak berhasil seperti yang diharapkan namun terpaksa mengambil masa untuk mendapatkan rentak yang mahu dipamerkan sejak permulaan saingan."