BELGIUM 3 KAZAKHSTAN 0

Pengendali Belgium, Roberto Martinez, teruja dengan perpindahan mega Eden Hazard ke Real Madrid sambil ia tampak tidak mengganggunya sebelum mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kazakhstan awal pagi tadi.


Hazard -- yang melakukan penampilan ke-100 buat Belgium -- tidak menghasilkan sebarang jaringan tetapi membantu gol pertama Dries Mertens sambil Timothy Castagne dan Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan dalam saingan kelayakan Euro 2020 di Brussels itu.

Kelmarin, gergasi LaLiga, Real Madrid mengesahkan pembelian Hazard daripada Chelsea menerusi kontrak selama lima tahun.

Martinez khuatir sekiranya perjanjian itu memberi kesan kepada pemain tersebut tetapi ternyata ia tidak berlaku.

"Situasi di stadium hebat. Saya sedikit takut jika Hazard terganggu, namun tiada siapa yang mengalaminya.

"Ia hebat buat Hazard. Saya harap dia akan kekal berminat untuk beraksi serta memberikan hadiah buat penyokong.

"Ia membuktikan bahawa ia tidak ditelan zaman," tambahnya.

Bercakap mengenai kemenangan pasukan kendaliannya itu, Martinez berkata corak permainan Belgium telah menenggelamkan Kazakhstan.

"Segalanya berjalan lancar. Kami harus menekankan fokus dan serius dalam kumpulan," tambahnya.

"Persembahan Kazakhstan ketika berdepan Scotland sangat baik tetapi mereka tidak dibenarkan melakukan apa yang difikir."

Martinez turut melontarkan pujian buat Castagne setelah mempamerkan persembahan cemerlang dalam beberapa perlawanan buat skuad kebangsaan.

"Dia melakukan apa yang saya minta. Tugasnya memerlukan usaha yang banyak tetapi dia melakukannya dengan baik," tambah Martinez.

Belgium akan beraksi sekali lagi di laman sendiri Selasa depan dengan melayan kunjungan Scotland yang dikendalikan oleh Steve Clarke.