Sepanjang lebih dua dekad lalu, setiap edisi Piala Dunia masing-masing menampilkan penjaga gol berkaliber yang diangkat sebagai wira buat pasukan.

Oliver Kahn dinobatkan sebagai pemain terbaik pada tahun 2002 -- penjaga gol terakhir yang memenangi anugerah tersebut.

Tahun 2006 menyaksikan persembahan kebal daripada Gianluigi Buffon yang melindungi gawangnya dengan cukup baik tatkala Itali menjadi juara pada tahun berkenaan.

Bagi Piala Dunia tahun ini pula, semua pihak nampaknya sebulat suara menamakan tiga penjaga gol cemerlang yang ternyata menonjol buat pasukan masing-masing -- Dominik Livakovic (Croatia), Yassine Bounou (Maghribi) dan semestinya pemenang anugerah penjaga gol terbaik, Emiliano Martinez dari Argentina.

Livakovic dan Bounou masing-masing diberikan penghormatan atas dasar ketangkasan mereka melindungi gawang daripada dibolosi, dengan Livakovic menyelamatkan empat sepakan penalti secara keseluruhan.

Bounou pula menghalang setiap pemain Sepanyol dengan jayanya ketika detik penentuan di peringkat 16 terakhir.

Martinez mencatatkan rekod yang sama seperti Livakovic dengan menghadang empat penalti kesemuanya, namun tidak seperti dua penjaga gol pesaing, namanya bakal dikenang sebagai seorang yang penuh kontroversi dan tidak keterlaluan jika dikatakan ‘kurang ajar’.

Tidak dapat dinafikan, Martinez sememangnya bijak membaca hala tuju sepakan yang bakal diambil oleh pihak lawan di samping dia juga memiliki ketangkasan yang diperlukan untuk melakukan halangan sebaik-baiknya.




Meskipun Martinez ditewaskan tiga kali berturut-turut oleh sepakan penalti Kylian Mbappe dalam perlawanan akhir, tidak ramai sedar bahawa dia telah meneka arah yang tepat sebanyak dua kali, malangnya gagal menyelamatkan bola gara-gara sepakan Mbappe terlalu padu dan laju setiap kali.

Di sebalik kemampuannya itu, perkara yang paling menimbulkan kemarahan ramai pihak adalah tingkah lakunya dalam mengganggu emosi pihak lawan sebelum sepakan penalti diambil.

Contoh terbaik adalah tindakannya ketika berhadapan dengan Aurelien Tchouameni, pemain yang bertugas untuk mengambil sepakan penalti ketiga buat Perancis di peringkat penentuan.

Martinez dengan sengaja melemparkan bola jauh dari pintu gol, memaksa Tchouameni untuk perlahan-lahan berjalan mengutip bola itu, sekali gus mengganggu fokusnya.

Sama ada gangguan itu menjadi punca sepakan penaltinya tersasar, tiada siapa tahu, tetapi bagi Martinez dan Argentina, ia merupakan satu misi yang berjaya.

Imbas kembali pada musim lalu dalam Liga Perdana Inggeris sewaktu kelab Martinez, Aston Villa, berhadapan dengan Manchester United. Pada detik-detik akhir perlawanan, United memperoleh sepakan penalti.

Martinez memilih untuk tidak menunggu sahaja di pintu gawangnya, sebaliknya dia bersemuka dengan Cristiano Ronaldo dan berkali-kali mencabarnya untuk mengambil sepakan itu, membuatkan Bruno Fernandes yang ditugaskan untuk melakukan sepakan terpinga-pinga menanti.

Pada akhirnya, sepakan itu tersasar jauh dari sasaran.

Satu analisis menarik dari laman sesawang livemint.com memaparkan esei panjang daripada pakar psikologi, Geir Jordet, tentang setiap tindak-tanduk Martinez dan kesannya terhadap mentaliti pemain-pemain Perancis.

Pada akhirnya, pakar psikologi itu membuat kesimpulan bahawa segala permainan minda Martinez merupakan sesuatu yang hebat, tidak dapat diramalkan, tetapi dilakukan dengan objektif yang bijak.





Seolah-olah tidak cukup dengan segala permainan minda, sewaktu naik ke pentas untuk menerima trofi penjaga gol terbaik, Martinez dengan selambanya meletakkan trofi tersebut di celah kelangkang, membentuk satu isyarat lucah di hadapan berjuta-juta penonton serta kerabat diraja Qatar sebagai saksi.

Pemain yang teramat disayangi jika dia berada dalam pasukan anda tetapi teramat dibenci oleh kesemua pihak lain -- tiada kalimah lain yang bertepatan untuk menggambarkan Martinez.

Gara-gara tindakan dan perangainya, usah terkejut andainya kita melihat lebih banyak lagi tingkah laku melucukan serta menaikkan darah daripada Martinez dalam pertandingan-pertandingan serta liga akan datang.