Anthony Martial menyanjung pengaruh Ole Gunnar Solskjaer dalam membantunya "meningkatkan mutu permainan ke tahap lebih tinggi" selepas menandatangani kontrak jangka panjang bersama Manchester United.

United mengesahkan semalam bahawa pemain kebangsaan Perancis itu telah bersetuju untuk menandatangani kontrak hingga 2024 manakala mereka memiliki pilihan untuk melanjutkan kontrak setahun lagi.

Martial, yang sedang menikmati musim cemerlang, meledak lapan gol dalam 18 perlawanan selepas menemui semula rentak terbaik sejak dua tahun lalu.

Hubungan pemain sayap itu bersama bekas pengurus, Jose Mourinho, dikatakan hambar dan beliau dilaporkan mahu menjual pemain tersebut.

Walaupun Martial telah berjaya menambat semula hati Mourinho sebelum dipecat, bekas bintang Monaco itu percaya Solskjaer yang berjaya meningkatkan lagi mutu permainannya.

Bercakap kepada laman web rasmi United, Martial berkata, "Saya menikmati setiap saat bersama kelab ini. Dari hari pertama, saya dianggap sebahagian daripada keluarga United.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Solskjaer dan staf kejurulatihan di atas kepercayaan dan bantuan yang diberikan untuk saya meningkatkan mutu permainan.

"Kelab ini sentiasa mahu memenangi gelaran dan saya pasti kejayaan seterusnya tidak jauh untuk dicapai," ujarnya.

Pengurus sementara, Solskjaer, mungkin bersama kelab hingga penghujung musim tetapi belau teruja mengenai masa depan Martial bersama United, meletakkan keyakinan terhadap penyerang itu berada di tempat terbaik untuk membuktikan potensinya.

"Martial adalah salah seorang pemain berbakat yang diperlukan oleh mana-mana jurulatih," kata Solskjaer.

"United adalah kelab terbaik buat Martial mengembangkan lagi mutu permainannya dan kami semua gembira dia kekal bersama pasukan untuk jangka masa panjang."