Bekas ketua pasukan West Ham United, Mark Noble, akan kembali menggalas peranan di kelab London itu dan kali ini sebagai pengarah sukan, Januari depan.

Selepas membuat 550 penampilan senior sepanjang 18 tahun menyarung jersi Claret and Blue itu akan menjalinkan kerjsama erat dengan pengurusan David Moyes, berbincang dengan barisan lembaga pengarah, memberikan maklumat, nasihat dan bantuan dalam semua aspek operasi bola sepak kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

“Saya telah menghabiskan 24 tahun terakhir sebagai pemain di sini, pertama di akademi, kemudian dalam pasukan utama.

"Jelas mempunyai pengetahuan dan pemahaman mendalam tentang kelab.

"Sepanjang karier bermain saya, satu perkara yang saya usahakan lebih daripada segala-galanya ialah peningkatan berterusan, baik di dalam dan di luar padang.

"Ia menjadi lebih penting selepas saya dilantik sebagai kapten kelab pada 2015 dan tujuh tahun lalu telah memberikan saya pengalaman dan persediaan yang hebat untuk ke peringkat seterusnya dalam hidup serta kerjaya saya.

“Lebih-lebih lagi dua tahun lalu tatkala rentak karier saya mula perlahan secara semula jadi. Ia memberi saya peluang yang hebat untuk benar-benar meluangkan sedikit masa mendidik diri sendiri dan menimba pengetahuan serta pemahaman yang lebih baik tentang kerja yang berlaku di belakang tadbir.

"Kelab ini telah membuat beberapa langkah hebat ke hadapan dalam tempoh itu dan saya begitu teruja untuk kembali pada masa yang begitu menarik.

"Saya rasa ini adalah satu peluang yang baik untuk saya memberikan sumbangan sebenar dan membantu kelab dalam cara yang berbeza.

"Saya boleh berjanji kepada semua keluarga West Ham bahawa saya akan mencurahkan segala yang saya ada," katanya di laman sesawang kelab.