Marcus Rashford kembali berlatih bersama Manchester United selepas selesai menjalani pembedahan bahu.

Pemain antarabangsa England itu terlepas perlawanan awal musim ini apabila baru-baru ini menjalani pembedahan bagi mengatasi kecederaan yang kerap membelenggunya.

Walaupun menghadapi masalah itu, Rashford tetap terpilih membarisi pasukan The Three Lions yang mara ke final Euro 2020 di sebalik kegagalannya dalam penentuan sepakan penalti ketika tersungkur kepada Itali di Wembley.



Enam minggu kemudian, pemain berusia 22 tahun itu kembali ke padang latihan di Carrington dalam usaha meningkatkan pemulihannya.

Walaupun dia tidak dijangka kembali beraksi hingga Oktober depan, Rashford sudah mula berlari sambil berlatih dengan pegawai kelab itu.

Produk akademi itu menjaringkan 21 gol pada musim lalu ketika United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua dan mara ke final Liga Europa.

United memulakan musim ini dengan kemenangan 5-1 ke atas Leeds United di Old Trafford sebelum seri 1-1 ketika berkunjung ke kubu Southampton.