Paris Saint-Germain (PSG) bersedia membawa masuk tiga lagi pemain baru sebelum jendela perpindahan ditutup.

Pengurus gergasi Ligue 1 itu, Christophe Galtier, turut menjelaskan antara keinginannya ialah memperkuatkan bahagian serangan selepas mengesahkan Mauro Icardi digugurkan kerana tiada dalam perancangan skuad ketika mereka membelasah Clermont Foot, hujung minggu lalu.

Juara Perancis itu telah pun menyambar khidmat Renato Sanches, Nordi Mukiele, Hugo Ekitike, Vitinha dan Nuno Mendes baru-baru ini.




PSG bersedia membuat bidaan ke atas Marcus Rashford yang kini masih milik Manchester United, menurut L'Equipe.

Penyerang antarabangsa England itu mempunyai perjanjian bersama The Red Devils hingga 2023 selepas menandatangani perjanjian selama empat tahun pada 2019 dengan pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.

Sky Sports, bagaimanapun, melaporkan bahawa Rashford bukanlah pilihan utama susulan minat awal PSG, minggu lalu.