Marco Rose akan meninggalkan Borussia Monchengladbach untuk menjadi ketua jurulatih baru Borussia Dortmund pada hujung musim ini.

Dortmund melantik Edin Terzic sehingga penghujung musim ini selepas Lucian Favre dipecat pada Disember lalu tetapi pengendali berusia 38 tahun itu kelihatan tidak cukup bagus untuk mengisi jawatan itu secara tetap.

Favre dipecat selepas pasukan itu tewas memalukan 1-5 kepada Stuttgart dan Tarzic pula memberikan gambaran awal yang baik dengan memenangi empat daripada lima perlawanan pertama, termasuk menewaskan RB Leipzig 3-1.

Tetapi dua kemenangan -- termasuk ketika menewaskan pasukan divisyen dua, Pederbon, dalam masa tambahan -- daripada tujuh perlawanan terakhir memberikan tekanan luar biasa buat Terzic

Dia kelihatan akan kekal mengendalikan pasukan itu sehingga hujung musim ini sebelum Rose, seperti yang didedahkan Gladbach, mengambil alih Dortmund.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Gladbach berkata: "Marco Rose telah memilih untuk meninggalkan Gladbach pada menghujung musim ini dan menyertai Borussia Dortmund."

Ketika Dortmund belum membuat pengesahan mengenai pelantikan itu, Pengarah Sukan Gladbach, Max Eberl, menambah: "Kami banyak mengadakan perbincangan sesama sendiri mengenai masa depan Marco sepanjang beberapa minggu ini.

"Malangnya, dia kini memutuskan bahawa dia mahu menggunakan satu klausa dalam kontraknya, yang sepatutnya sehingga Jun 2022, dan berpindah ke Borussia Dortmund pada musim panas ini.

"Jika keadaan yang terkandung dalam kontraknya menepati masa yang ditetapkan, dia bukan lagi pengurus kami pada penghujung musim ini.

"Sehingga itu, kami akan memperkuatkan diri kami bersama Marco untuk mencapai sasaran kami dalam Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL)," katanya.