Bek kiri Real Madrid, Marcelo, berminat untuk berganding dengan Neymar bersama gergasi Eropah itu.

Neymar semakin hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Real sebelum musim baru bermula walaupun Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, menegaskan bintang Brazil itu tidak akan meninggalkan pasukan.

Marcelo mengalu-alukan kedatangan rakan senegaranya itu ke Santiago Bernabeu tetapi dia tidak mencuba berbincang dengan Neymar untuk melakukan perpindahan itu.

"Jalan terbaik adalah menyertai Real dan saya mahu bermain bersama Neymar," katanya.

"Ketika saya berbual dengannya, saya tidak bercakap mengenai Real Madrid atau meninggalkan PSG."

Marcelo dan Neymar bakal berganding untuk Brazil dalam saingan Piala Dunia selepas mereka diundi bersama Switzerland, Costa Rica dan Serbia dalam Kumpulan E di Russia.

Bagaimanapun, Marcelo menegaskan tumpuan utama adalah kejohanan terbesar itu, bukan mengenai perpindahan.

"Kami akan ke Russia dengan misi yang penting.

"Kami tidak akan bercakap mengenai perpindahan. Kami hanya mahu bermain untuk Brazil," tambahnya.