Marcelo dijangka membarisi kesebelasan utama Brazil untuk berdepan Mexico malam esok selepas pertahanan Real Madrid itu menyertai sesi latihan skuad Selecao di Samara, hari ini.

Pertahanan kiri itu hanya beraksi selama 10 minit ketika Brazil membenam Serbia 2-0 dalam aksi Kumpulan E, Rabu lalu selepas mengalami masalah dengan otot dan terpaksa digantikan oleh Filipe Luis.

Doktor pasukan, Rodrigo Lasmar, menyifatkan tilam di hotel penginapan pasukan sebagai punca kepada masalah tersebut tetapi yakin Marcelo akan sempat pulih untuk berdepan naib juara Kumpulan F, Mexico.

Jangkaan itu menjadi kenyataan apabila Marcelo dilihat kembali menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan di Samara Arena.

Brazil tiba di kota itu beberapa jam lebih awal pagi tadi, di mana mereka dikerumuni oleh barisan wartawan dan kelompok penyokong yang ramai di hotel.

Juara dunia lima kali itu kini menyasarkan untuk layak ke suku akhir buat kali ketujuh berturut-turut tatkala lawan dilihat mahu mengelakkan diri daripada 'sumpahan perlawanan kelima' selepas terkandas dalam pusingan kedua dalam enam edisi terakhir.