Santiago Solari menegaskan Marcelo adalah kapten kedua dan 100 peratus pemain Real Madrid tatkala dia mempertahankan pertahanan itu.

Menjadi sebahagian daripada skuad yang menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut, Marcelo tampak bergelut musim ini dan ia jelas dilihat dalam aksi pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol yang berkesudahan seri 1-1 dengan Barcelona.

Dia dilaporkan bakal berhijrah ke Juventus untuk kembali bersama bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo, walaupun mencatat 12 penampilan liga dan beraksi dalam 23 perlawanan untuk semua kejohanan.

Bagimanapun, Solari mempertahankan pemain berusia 30 tahun itu selepas tamat aksi di Camp Nou.

"Marcelo adalah kapten kedua," kata Solari.

"Dia 100 peratus pemain Real Madrid dan kami mahu menyaksikan persembahan terbaiknya."

Tatkala Marcelo gagal menyinar musim ini, rakan senegaranya yang turut menyarung jersi Los Blancos, Vinicius Junior, dilihat cemerlang di bawah bimbingan Solari di Santiago Bernabeu.

Vinicius sekali lagi diletakkan dalam kesebelasan utama ketika kunjungan ke Barca dan pemain berusia 18 tahun itu -- yang tiba dari Flamengo musim panas lalu -- menerima pujian daripada Solari ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

"Saya tidak terkejut dengan perkembangannya. Saya mengenali dia dan tahu cara dia bermain bola sepak," ujar Solari.

"Amat hebat untuk melihat pemain berusia 18 tahun berkembang seperti apa yang ditampilkannya. Pujian juga harus diberi kepada rakan sepasukannya yang menyokong dan membenarkannya beraksi."

Madrid melalui permulaan yang diidamkan dalam aksi awal pagi tadi apabila Lucas Vazquez membuka tirai jaringan seawal minit keenam.

Bagaimanapun, pemenang terpaksa ditentukan dalam aksi kedua 27 Februari ini selepas Malcom menyamakan kedudukan untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat perlawanan.