Pengurus Valencia, Marcelino, menikmati hari paling menggembirakan dalam kariernya selepas menewaskan Barcelona dalam final Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

Jaringan dalam babak pertama oleh Kevin Gameiro dan Rodrigo membantu Valencia untuk menewaskan skuad kendalian Ernesto Valverde itu 2-1, yang membolehkan pasukannya menjulang trofi Piala Raja Sepanyol buat kali kelapan.

Lionel Messi menyumbat gol dalam babak kedua tetapi Valencia dapat bertahan sehingga wisel penamat, memberikan Marcelino trofi pertama sejak mengendalikan pasukan pada Mei 2017.

Bekas pengurus Sevilla dan Villareal itu yang pernah mengemudi Recreativo memenangi Liga Divisyen Segunda pada musim 2005-06, menjadi satu-satunya trofi yang diraih sebelum ini dan dia jelas sangat gembira.

"Ia adalah hari paling menggembirakan dalam karier. Ia satu kemenangan. Sentiasa akan ada final serta kemenangan pertama," ujar Marcelino.

"Saya berterima kasih kepada pemain, staf kejurulatihan, keluarga serta semua yang membantu untuk menjadikan saya individi paling gembira di dunia di tahap profesional.

"Musim lalu sangat hebat. Kami memulakan musim ini dengan buruk kerana kami bersaing walaupun tanpa keputusan positif. Situasi itu membawa kepada kejayaan hari ini.

"Pemain memberi saya peluang untuk memenangi perlawanan ini. Kasih sayang serta semangat antara kami memiliki persamaan."

Marcelino berada di bawah tekanan awal musim ini selepas Valencia hanya mencatat satu kemenangan daripada 11 perlawanan terawal LaLiga, namun mereka akhirnya berada di tangga keempat.

Pengendali berusia 53 tahun itu berterima kasih kepada kelab dan pemainnya selepas mengubah nasib musim ini.

"Ketika di waktu sukar, pemain menunjukkan sokongan terhadap saya. Saya gembira untuk itu dan tidak akan melupakannya," tambah Marcelino.

"Bukan mudah untuk kelab memberikan kepercayaan penuh kepada saya dan pastinya suar untuk mengubah situasi seperti apa yang kami lakukan.

"Ia menunjukkan saya tidak begitu teruk sebelum ini atau terlalu bagus ketika ini," katanya lagi.