Pengurus Valencia, Marcelino, mendedahkan Rodrigo telah memberitahunya bahawa dia akan menyertai Atletico Madrid sebelum perpindahan ke ibu negara Sepanyol itu gagal disempurnakan.

Pemain berusia 28 tahun itu terlepas dua hari sesi latihan minggu ini untuk melengkapkan perpindahan ke Atletico, namun pencabar LaLiga itu menarik diri.

Pengarah Valencia, Mateu Alemany, mendakwa tawaran Atletico yang bernilai sekitar EUR60 juta (RM278 juta) telah ditolak.

"Mereka yang memberi tawaran kini tidak lagi melakukannya dan sebarang perjanjian tampak tidak dapat dicapai," katanya.

"Terdapat syarat dalam perjanjian. Namun, memandangkan ia tidak mendatangkan kebaikan buat Valencia, ia tidak dapat dilengkapkan. Di antara Valencia dan Atletico, memang ada perjanjian tetapi ketika ini, tiada tawaran diterima."

Rodrigo kini kembali menjalani latihan dan dijangka beraksi dalam perlawanan pembukaan LaLiga menentang Real Sociedad malam ini.

Marcelino mengalu-alukan penyerang itu dan dia percaya situasi itu membantu mencerahkan peluang pasukannya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini setelah menduduki tempat keempat LaLiga musim lalu.

"Apabila mengetahui Rodrigo berpindah, saya dimaklumkan pada hari yang sama sesi latihan kelmarin," tambah Marcelino.

"Dia juga memberitahu saya bahawa dia akan ke Atletico tetapi tiba-tiba perpindahan itu gagal diselesaikan."