Marc Cucurella berikrar tidak akan memotong rambutnya ekoran insiden yang melibatkan Cristian Romero ketika Chelsea seri 2-2 dengan Tottenham.

Rambut pemain antarabangsa Sepanyol itu disentak dengan kuat oleh pertahanan Spurs, Romero, di penghujung perlawanan yang sarat dengan aksi tegang di Stamford Bridge, kelmarin.

Cucurella, membuat penampilan sulung penuh bersama Chelsea selepas dibeli daripada Brighton & Hove Albion, terjatuh akibat kekasaran itu tetapi tiada tindakan diambil terhadap Romero.

The Blues mendahului 2-1 pada ketika itu sebelum tandukan Harry Kane menyamakan kedudukan beberapa saat kemudian, lalu mencetuskan rasa tidak puas hati Thomas Tuchel terhadap pengadil perlawanan.

Bercakap dalam sidang akhbar malam tadi, Cucurella enggan memotong rambutnya demi mengelak keadaan sama berulang lagi pada masa hadapan.

"Tidak. Tidak pernah. Ini gaya saya," katanya kepada pemberita.




Ditanya sama ada dia fikir Romero bernasib baik dapat mengelak sebarang hukuman, Cucurella berkata: "Ya. Bagi saya insiden di atas padang itu terlalu jelas.

"Saya tidak melihatnya di kaca televisyen mahupun sedutan rakamannya. Saya fikir ia sangat jelas jadi ia adalah satu kesilapan pengadil atau VAR (video bantuan pengadil). Kadang-kadang pengadil membuat keputusan yang tepat, ada masanya tidak.

"Mungkin ia bukan satu tindakan penting kerana ia tidak menjejaskan keputusan akhir dan kami akan berentap semula dalam beberapa bulan lagi jadi kami masih mempunyai peluang."