Pengembaraan Croatia menuju perlawanan akhir Piala Dunia 2018 merupakan pencapaian sensasi di sebalik pergolakan negara itu, namun kekalahan 2-4 kepada Perancis pasti mengakhiri sesuatu dalam 'generasi emas' itu.

Anak buah Zlatko Dalic itu bukanlah pakej kejutan bersandarkan barisan pemain yang dimiliki atau saiz penduduk negaranya yang kecil. Tidak, sebaliknya kemampuan mereka ke Moscow mencetuskan kejutan susulan apa yang mereka tempuhi tahun lalu.

Pada 7 Oktober 2017, Persekutuan Bolasepak Croatia (HNS) memutuskan untuk mengambil keputusan drastik dengan memecat jurulatih, Ante Cacic, berikutan seri 1-1 dengan Finland, lalu meninggalkan pasukan itu dalam situasi tegang dengan hanya satu perlawanan di peringkat kelayakan yang tersisa.

"Zlatko akan mengetuai pasukan ini dalam perlawanan penting menentang Ukraine dan kami mengharapkan hasil yang positif," kata Presiden HNS, Davor Suker, dan tindakan itu sesuatu yang memeranjatkan.

Selepas kecewa terikat dengan Finland, ketua pasukan, Luka Modric, hampir menumpahkan air matanya sambil menelangkupkan tangan di atas kepalanya, memikirkan kemungkinan gagal layak ke Piala Dunia Russia.

Mujur buat Croatia, dua jaringan Andrej Kramaric di bawah kendalian sulung Dalic membantu mereka meraih tempat kedua dalam Kumpulan I, disusuli kemenangan agregat 4-1 ke atas Greece dalam aksi play-off untuk jurulatih baru itu mencapai sasaran minimum, melepaskan pasukannya daripada penjara dan layak ke Piala Dunia.

Bagaimanapun, bukan semuanya berjalan lancar sebaik mereka tiba Russia manakala Nikola Kalinic pula dihantar pulang.

Walaupun atas alasan rasmi tercedera, laporan mengatakan penyerang itu sebenarnya mempunyai masalah disiplin dengan mempamerkan reaksi yang tidak bagus apabila enggan dimasukkan sebagai pemain gantian dalam aksi pembukaan pasukannya menentang Nigeria.

Perlu diingatkan bahawa Modric dan Dejan Lovren -- boleh dikatakan tonggak Croatia paling penting di Russia -- berdepan banyak masalah di luar padang tahun lalu.

Kedua-duanya dikaitkan dengan kes rasuah bekas Ketua Eksekutif Dinamo Zagreb, Zdravko Mamic, yang didapati bersalah mengambil saham menerusi yuran perpindahan ketika mengetuai kelab paling terkenal di Croatia itu sehingga dijatuhi hukuman penjara enam setengah tahun.

Modric dan Lovren menghadapi tuduhan kerana didakwa memberikan "kenyataan palsu" dalam kes itu sehingga mencemarkan reputasi mereka di laman sendiri.

Namun, kedua-duanya dilihat tidak terkesan dengan gangguan berkenaan untuk melakar pencapaian luar biasa. Memandangkan kemelut yang berlegar di sekeliling mereka pada tahun sebelum kejohanan, namun Croatia mampu meninggalkan impak besar dalam Piala Dunia.

Keputusan perlawanan akhir awal pagi tadi merupakan gambaran yang sangat keras. Sepanjang 90 minit, corak serangan Croatia jauh lebih mengancam berbanding Perancis, bahnkan mereka juga lebih dominan di bahagian tengah.

Dalam kempen edisi kali ini yang dilimpahi keputusan mengejutkan dan menarik, namun di atas padang, Croatia tersusun dan memiliki persefahaman jitu, ciri-ciri yang jarang sekali ditampilkan mereka -- kecuali aksi suku akhir dengan tuan rumah, Russia -- untuk memadamkan segala kemelut yang melanda sebelum ini.

Modric -- seperti yang sering terjadi -- menjadi watak utama, pemain yang sama mempamerkan reaksi hampa selepas menentang Finland, Oktober lalu, sering menampilkan gerakan lincah lalu mengangkatnya untuk dipertimbangkan sebagai calon Ballon d'Or bagi melengkapkan Anugerah Bola Emas yang diterimanya selepas perlawanan akhir.

Sekali lagi di Moscow awal pagi tadi, dia menampilkan aksi tenang meskipun Croatia sedang menghadapi salah satu pasukan yang dilihat lebih ampuh.

Jelas, keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menjadi punca penalti Perancis -- Antoine Griezmann menjadikan kedudukan 2-1 -- memberi kesan.

Croatia memberikan persembahan mengagumkan dalam babak kedua dengan melancarkan asakan bertali arus sebelum hujan yang sudah diramalkan akhirnya tiba, namun tidak mengejutkan apabila barisan berbakat Perancis lebih berbisa.

Bagi Croatia, kemaraan ke final itu sendiri adalah kejayaan. Walaupun kualiti bintang mereka tidak diragui, tidak ramai yang menganggap mereka mampu melangkah sejauh ini memandangkan persiapan mereka yang agak huru-hara.

Tetapi, pada masa yang sama, generasi Croatia seterusnya mungkin tidak berpeluang untuk merakamkan pencapaian seperti ini lagi.

Modric, Ivan Rakitic, Mario Mandzukic, Ivan Perisic dan Lovren kesemuanya sudah berusia 29 tahun atau lebih, ini memberi bayangan bahawa mereka mungkin tidak akan mengikuti rombongan Piala Dunia 2022.

Menjangkau pentas akhir temasya Russia 2018 masih merupakan pencapaian hebat bagi skuad Croatia yang mengetepikan kekacauan di sekeliling mereka demi menongkah arus.