Pengendali Selangor, P. Maniam, memuji semangat tidak putus asa pemainnya selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Maniam mengakui situasi perlawanan menjadi lebih sukar selepas pemain import, Andik Vermansyah, dilayangkan kad merah pada minit ke-56.

Namun, kecekalan benteng Selangor menahan asakan bertali arus pasukan tuan rumah serta ketenangan Francis Forkey Doe menyempurnakan peluang menjadi titik pemisah di antara kedua-dua pasukan.

"Ia adalah tentang pemain-pemain yang berada dalam keadaan motivasi yang tinggi.

"Semangat mereka dapat dilihat dan itu adalah faktor kemenangan kami," katanya.

Maniam juga memberikan kredit buat penyerang, Francis Forkey Doe, yang kembali menemui sentuhan jaringan selepas menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Ketika cuti hari raya, dia (Forkey Doe) telah berlatih sendirian untuk memastikan staminanya sentiasa berada di tahap terbaik dan buktinya dapat disaksikan dalam perlawanan ini," tambah Maniam.